Saturday, July 28, 2012

ULASAN : NOVEL NEGERI 5 MENARA



Apa yang aku boleh kongsikan berkenaan novel ini..??? terlalu banyak!! Sungguh, novel yang penuh dengan inspirasi!  Awal kisah menceritakan remaja bernama Alif Fikri baru sahaja lulus Sekolah Agama Negeri, dan dia diminta oleh ibunya untuk menyambung pelajaran ke sekolah aliran agama@ pondok, sedangkan kemahuan asalnya adalah melanjutkan pengajian ke Sekolah Menengah Atas (SMA) agar dia dapat mengejar cita-citanya menjadi jurutera.

Tetapi, dengan berat hati, Alif menuruti kehendak ibunya dan dia memilih Pondok Madani yang terletak di pulau Jawa, hasil saranan pakciknya yang bernama Gindo, untuk mendalami ilmu agama seperti kemahuan ibunya.  Alif sebelum ini tidak pernah meninggalkan Danau Maninjau, daerah Bukit Tinggi di wilayah Sumatera, dan keputusannya ke Jawa juga sempat diragukannya sendiri.

Tidak disangka.  Dengan perjalanan berhari-hari yang ditempuh, Pondok Madani memang jauh seperti apa yang dibayangkan, malah lebih hebat dari apa yang diberitahu pakciknya iaitu Pakcik Gindo.  Di pondok ini, para pelajar bebas mengembangkan bakat yang mereka punya dari segi kesenian seperti melukis, bermain alat muzik, teater, menulis puisi sehingga ke bidang penulisan kewartawanan, bidang sukan dan sebagainya.  Tapi, untuk memasuki sekolah pondok ini, Alif perlu melepasi ujian kemasukan, iaitu terdiri dari ujian bertulis, ujian lisan dan temuduga.



Alif berjaya melepasi ujian kemasukan itu, dan diterima menjadi penuntut tahun satu di sekolah pondok ini.  Di Pondok Madani, Alif dipertemukan dengan Sahibul Menara, iaitu rakan-rakan terbaiknya saat menuntut di pondok.  Para sahabat inilah yang menemaninya tatkala susah senang Alif mengaji di pondok ini.  Di pondok ini juga Alif diajarkan kata-kata sakti seperti Man Jadda Wa Jadda ( mereka yang berusahalah yang akan berjaya) yang dipegangnya bagi menempuh cabaran dan dugaan apa pun sepanjang tempoh pengajian.

Di pondok Madani, bahasa pengantaraan adalah Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab sahaja dan setiap pelajar wajib mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan, kesalahan melanggar undang-undang akan dihukum serta-merta mengikut beratnya kesalahan yang dilakukan.  Pada tahun pertama Alif di Pondok Madani, pelbagai perkara yang dia lalui, dihukum akibat lewat ke masjid, dihukum menjadi Jasus (mata-mata) pencari kesalahan penuntut lain, dan mengenali Tyson, seorang pelajar senior dan ketua bahagian disiplin sekolah.

Pengajian di Pondok Madani ini mengajar para penuntutnya supaya bersedia menjadi pemimpin serta bersedia juga untuk dipimpin, oleh kerana itu setiap penghuni asrama di pondok akan mendapat peluang mengimamkan solat serta diberi peluang menyampaikan pidato selamat 5 minit di dewan di depan para guru dan penuntut pondok lainnya.  Di sini juga para penuntut diajar untuk melakukan kebajikan dengan kebijakan.

Itulah serba sedikit dan sebahagian dari novel ini yang dapat saya kongsikan bersama.  Bacalah novel ini, banyak ilmu yang dikongsi oleh sang penulis buat amalan dan pegangan kita. Ow ya, sebelum saya terlupa, novel ini juga telah difilemkan dan trailer filem ini saya sudah letak dibawah, tapi sayang filem ini belum sampai ke Malaysia.


No comments:

Post a Comment