Wednesday, June 20, 2012

SANDOKAN, SEBUAH HIKAYAT YANG DIPINGGIRKAN



Kita semua pasti mafhum berkenaan hikayat Hang Tuan dan 4 saudaranya, atau paling tidak, serba sedikit kita tahu berkenaan kisah hulubalang-hulubalang Empayar Melayu Melaka ini (pengkaji sejarah juga ada yang berpendapat bahawa 5 saudara ini bukan melayu).  Bahkan pasti ada diantara kita semua pernah dengar dengan berbagai mitos, lagenda dan hikayat melayu seperti Naga Tasik Chini, Puteri Gunung Ledang, Merong Mahawangsa (sudah pun di filemkan oleh KRU Studios), Mahsuri dan sumpahannya, dan berbagai-bagai lagi.

Tapi pernah atau tidak kita mendengar berkenaan SANDOKAN, HARIMAU MALAYA?? Malah untuk melengkapkan tanda tanya kita semua, ia di hikayatkan, diceritakan dan dibukukan oleh seorang Itali bernama Emilio Salgari.  Saya bernasib baik kerana Institut Terjemahan Negara Malaysia mengalih setiap kata dalam kandungan buku ini kepada bahasa melayu dan akhirnya dapatlah saya mendalami dan memahami setiap yang cuba disampaikan dan diimaginasikan oleh penulis.





Versi Bahasa Malaysia Oleh ITNM 
(Lanun Malaysia??mungkin sedap lagi "Malaya", dan sesuai dengan zaman tersebut.)

...

Buku ini mengisahkan tentang penentangan seorang lanun yang digeruni ramai orang pada waktu itu keatas pemerintahan kejam Raja James Brooke, Raja di negeri Sarawak. Berlatarbelakangkan sebuah tempat yang diberi nama Mompracem (merupakan kampung atau tempat tinggal bagi Sandokan sang ketua dan para lanun lainnya), pada waktu itu para Lanun Mompracem amat dikenali dan ditakuti disetiap pelusuk Laut China Selatan.  Digelar Harimau Malaya, Sandokan merupakan ketua yang disegani oleh setiap anak buahnya dan setiap daripada mereka bahkan sanggup bergadai nyawa bagi melindunginya dari ancaman tentera dan konco-konco Raja Brooke. Emilio Salgari melalui buku ini menceritakan bagaimana pada waktu itu sang penjajah iaitu pihak British yang diketuai Raja Brooke dan angkatan bala tenteranya, dengan segala kelengkapan tentera terbaik sekalipun masih tidak mampu menghapuskan penentangan oleh Sandokan dan para Lanun Mompracem.

Terdapat 11 siri buku yang menceritakan berkenaan Hikayat Sandokan ini (boleh semak kat wikipedia), dan buku yang diatas adalah buku ke-2 dalam siri hikayat lanun Malaya ini. Pasti menarik bukan jika KRU Studios dapat memfilemkan kesemua siri hikayat ini, atau paling tidak membawa salah satu siri buku hikayat ini ke layar perak seperti yang dilakukan pada Hikayat Merong Mahawangsa (cuma angan-angan aku sahaja).

Di dalam buku ini, Sandokan bersama orang paling kanannya atau boleh dikatakan sahabatnya yang paling sejati, Yanez de Gomera yang berbangsa portugis, mendapat misi menyelamatkan Tremal Naik, tuan kepada seorang pelarian dari India iaitu Kammamuri, yang ditahan dan dikurung di bumi Sarawak diatas kesalahan yang tidak dilakukannya. Setelah Kammamuri menceritakan segalanya, Sandokan dan Yanez bersetuju untuk membantu Kammamuri membebaskan tuannya Tremal Naik dari tahanan Raja Brooke, itupun setelah Sandokan mendapat tahu bahawa kekasih Tremal Naik, Ada Corishant merupakan sepupu mendiang isterinya Marianna Corishant yang telah lama hilang diculik oleh samseng di India.

Setelah itu, para Lanun Mompracem dikumpulkan, dan para pejuang yang terbaik pula dipilih bagi menghadapi misi tersebut yang mana akan terjadinya pertempuran hebat diantara Lanun Mompracem yang diketuai Sang Harimau Malaya dan Yanez, menentang pula askar-askar Raja James Brooke yang dilengkapi segala teknologi perang terhebat waktu itu.  Jika dilihat dari segi kekuatan ketenteraan, Lanun Mompracem yang bersenjatakan keris, tombak dan segala peralatan perang tradisional melayu memang tidak akan dapat menandingi askar-askar Raja Brooke, tetapi, disinilah kepandaian Yanez dalam mengatur strategi bertempur serta kelicikan dan keberanian Sandokan dalam menentang musuh menafikan segala yang dimiliki oleh Raja Brooke.

Sebuah cerita yang sarat dengan unsur keberanian dalam menentang penjajah, diwarnai pula dengan semangat setiakawan, segala emosi dan jalan cerita, dipersembahkan sangat baik oleh sang penulis.

No comments:

Post a Comment